Wednesday, November 25, 2009

"Berdaun-daun"

Setiap Jumaat kita mendengar khutbah yang disampaikan oleh Imam dari atas mimbar. Jika kita berada di negeri Johor, ke mana sahaja kita pergi bersolat Jumaat kita akan mendengar khutbah yang serupa kerana kandungannya telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Negeri. Isi kandungan khutbah biasanya sesuai dengan perkembangan dan peristiwa semasa seperti Hari Kemerdekaan, Hari Pahlawan dan Hari Guru. Tidak kira masjid di kota besar atau di ceruk kampung, para jumaah akan mendengar khutbah yang sama tetapi dengan gaya penyampaian yang berbeza. Cuma kadang-kadang mungkin kandungannya kurang relevan dengan sesuatu tempat.

Jika di sekolah pula ini boleh dibandingkan dengan peperiksaan setara daerah atau negeri. Jika tujuan peperiksaan ialah untuk mencari TOV untuk peperiksaan awam peringkat negeri, saya fikir ini adalah cara yang paling baik dan mudah. Tetapi jika untuk tujuan penilaian pengajaran guru perlu membuat ujian lain yang sesuai dengan pelajar dan kandungan yang telah diajar.

Berbalik kpd kisah khutbah Jumaat, tahun 60an dan 70an dulu, seingat saya setiap masjid dibekalkan satu buku tebal yang mengandungi teks khutbah. Saya tak pasti ada berapa tajuk, tetapi yang saya tahu imam akan membaca satu tajuk setiap minggu sehingga sampai tajuk terakhir dan kemudian akan diulang semula. Oleh kerana saya bersekolah di luar, saya biasa juga mendengar khutbah yang sama apabila solat Jumaat di kampung kerana kebetulan sampai tajuk yang berkenaan.

Yang paling saya ingat ialah suatu khutbah tentang gejala sosial khususnya tentang pergaulan bebas muda-mudi (masa tu belum ada mat rempit atau bohsia). Pak imam baca " ... lelaki dan perempuan bukan muhrim duduk berdaun-daun ......." Sepatutnya di baca berdua-duaan. Dia faham ke tidak apa yang dibaca. Saya tak pasti bagaimana ejaan berdua-duaan dalam tulisan jawi seperti yang tertulis dalam teks khutbah itu sehingga dibaca demikian. Setiap kali imam baca "berdaun-daun", pak cik yang tukang ambil kedatangan akan sebut perlahan-lahan "berdua-duaan" seperti kita membetulkan bacaan pelajar yang salah.

Masa itu kedatangan solat jumaat diambil kedatangan untuk memastikan bilangan jumaah mencukupi untuk solat jumaat kerana penduduk kampung belum ramai.

No comments:

Post a Comment